Aksi pemain baik - Rajagobal



Datuk K. Rajagobal menghamburkan pujian melambung ke atas anak didiknya berikutan kemenangan tipis 2-1 ke atas Yaman pada perlawanan kedua Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Asia.
"Secara keseluruhan, saya berpuashati dengan corak permainan yang dipersembahkan oleh para pemain. Pujian patut diberikan kepada kesemua pemain yang mencipta banyak peluang di depan pintu gol Yemen," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
  
Pada perlawanan itu, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan awal pemain pasukan pelawat, Aiman Saleh Abd Al-Hagri seawal minit ke-11 sebelum mereka membalas dengan dua gol masing-masing menerusi Azamuddin Mohd Akil pada minit ke-26 dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-75.
  
Mengulas lanjut, Rajagobal berkata beliau gembira kerana kesemua pemain terus menekan pasukan lawan dengan melakukan serangan bertali arus walaupun pasukan lawan sekali sekala cuba mengancam kubu skuad Harimau Malaya.
  
"Saya berharap agar para pemain dapat meneruskan momentum sebegini untuk perlawanan seterusnya," katanya.
      
Sementara itu, jurulatih Yaman, Tom Saintfiet kecewa dengan kekalahan itu walaupun memperolehi banyak peluang di depan gol.
  
"Saya benci untuk kalah tetapi perlu meneruskan perjuangan dan yakin akan bangkit daripada kekalahan ini," katanya.

0 comments: